PETIKAN AKHBAR 'PEMERGIAN NOORZAMZURI'
"SAYA PERLU SUSUN AYAT"
Oleh Nazarali Saerilnazarali@hmetro.com.my
SHAH ALAM: “Saya perlu menyusun ayat memaklumkan bapa arwah yang anaknya terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.“Saya tidak boleh memaklumkan anaknya setakat terbabit dalam kemalangan saja kerana dia pasti akan bertanyakan pelbagai soalan lain. Bagaimanapun, saya akan maklumkan juga,” itu luahan seorang pensyarah Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.Luahan itu dibuat pensyarah yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Hawa di lokasi pelajarnya, Noorzamzury Sallehudin, 23, maut selepas merempuh belakang lori di Persiaran Pegawai, petang semalam akibat kegopohan pemandu lori terbabit.
Bagaimanapun, pengawal keselamatan di bilik kawalan UiTM menghubungi bapa mangsa sebelum pensyarah itu sendiri memaklumkan kejadian itu.“Saya akan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan melakukan apa yang terdaya sebagai tanggungjawab terakhir untuk arwah serta keluarganya,” katanya sedih.Kejadian berlaku dipercayai akibat kegopohan seorang pemandu lori membelok ke simpang menyebabkan mangsa yang bakal menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan Kejuruteraan Awam (Pembinaan) semester depan, maut di tempat kejadian.Pembonceng, Muhammad Shaifull Izwan Hamid, 24, yang juga bekas pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) itu cedera dan dihantar ke sebuah pusat perubatan di Seksyen 7 di sini.Hendal motosikal ditunggang mangsa tercabut dan terpelanting di tepi jalan akibat rempuhan kuat itu.
Pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan.Mengikut perkiraan, lori terbabit sepatutnya berhenti dan memberikan laluan kepada motosikal ditunggang mangsa sebelum membelok, tetapi ia berlaku sebaliknya menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh belakang kenderaan berkenaan.Besi di belakang lori pula bengkok akibat rempuhan kuat sehingga mangsa terperosok di bawah kenderaan terbabit.Sumber polis trafik memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 2.55 petang apabila lori yang datang dari Bulatan Mastika membelok ke simpang Jalan Pegawai, menyebabkan motosikal ditunggang mangsa gagal mengelak lalu merempuh kenderaan terbabit.“Mangsa parah di dada dan kepala. Jenazahnya dihantar ke HTAR untuk bedah siasat.“Pemandu lori terbabit ditahan untuk membantu siasatan manakala kenderaan dipandunya pula disita,” katanya di lokasi kejadian.
SUMBER: HARIAN METRO (31/7/2008)
0 Response to "PETIKAN AKHBAR 'PEMERGIAN NOORZAMZURI'"
Post a Comment