Bukan bumiputera terima UiTM untuk bumiputera
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub menolak sama sekali cadangan supaya universiti itu dibuka kepada pelajar bukan bumiputera.
Beliau berkata, ini kerana semua kaum sudah mengiktiraf kedudukan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi yang dikhaskan untuk orang Melayu dan bumiputera.
Bekas Pengarah UiTM itu menegaskan, adalah penting bagi kerajaan mengekalkan objektif penubuhannya dapat dipelihara sampai bila-bila.
''Saya bersetuju dengan pendapat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa cadangan untuk membuka UiTM kepada bukan bumiputera merupakan satu tindakan menggadai hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing.
Kenyataan beliau itu dibidas Khaled yang menyifatkannya sebagai tindakan populis bertujuan memancing sokongan bukan Melayu.
Arshad menegaskan, belum masanya UiTM dibuka kepada bukan bumiputera kerana ia satu-satunya institusi yang ditubuhkan untuk memberi pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan bumiputera.
Beliau menambah, penubuhan UiTM adalah berdasarkan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menghapuskan kemiskinan dan menstruktur semula masyarakat.
''Sehingga kini matlamat tersebut belum tercapai, begitu juga sasaran untuk mewujudkan 30 peratus profesional Melayu pada semua peringkat.
''Oleh itu, bagaimana kita hendak membuka UiTM kepada bukan bumiputera? Perkara ini tidak boleh diterima,'' katanya.
0 Response to "Bukan bumiputera terima UiTM untuk bumiputera"
Post a Comment